ISU-ISU JENDER
Kajian Atas Psikologi dan Sosial Budaya Perempuan
Oleh: Khairunnas Rajab
Abstrak
Isu jender dewasa ini semakin mengundang polemik di antara pemikir-pemikir kontemporer.
Islam memandangnya sebagai kesetaraan yang tidak perlu dimarginal secara sepihak. Bahkan Islam memberikan keleluasaan kepada
perempuan untuk berlaku sesuai dengan kodratnya yang lembut dan emosional. Perempuan sesuai dengan kodrat yang dianugerahkan
kepadanya, menurut tinjauan psikologi adalah orang yang sama-sama memiliki hak dan kewajiban yang berimbang dalam aktualisasi
diri, harga diri, marwah, martabat, dan pemenuhan kemahuan lainnya seperti lelaki pada umumnya.
Kata Kunci:
Jender, perempuan, psikologi, sosial, budaya, kodrat, marwah, dan aktualisasi.
Pendahuluan
Di era moden; persoalan demi persoalan semakin ramai dan tidak terselesaikan.
Teknologi informasi dan transformasi ilmu pengetahuan yang ditandai dengan pergolakan transformasi budaya yang bebas nilai,
menimbulkan polemik yang panjang dan tidak terkendali. Belum selesai tuntas masalah satu sudah muncul masalah lain. Masyarakat
yang terkena impak langsung dan terkontaminasi dengan pergulatan tamadun dan budaya baru biasanya adalah masyarakat marginal
iaitu masyarakat yang duduk dipinggiran kota. Masyarakat ini dengan mudahnya terpengaruh; baik dari pedesaan mahupun perkotaan.
Lazimnya masyarakat marginal adalah masyarakat yang dengan mudah kehilangan citra dan gaya hidup (life style) yang pada prinsipnya
sudah dimilikinya. Namun pengaruh westernisasi telah membuat gaya hidupnya menjadi sok moden, dan realitinya mereka belum
siap menerima budaya dan tamadun baru, tetapi mereka secara tidak sengaja telah terkontaminasi dan mendapat impak daripada
kesan perilaku baru dan gaya hidup baru; sementara mereka tidak membekali diri sebelumnya dengan fondasi yang fundamental
tentang proses dan cara beradaptasi yang baik dan tidak pula memiliki keilmuan yang cukup memadai.
Globalisasi dan transformasi budaya juga telah memicu lahirnya ketegangan
mental, tekanan mental, depresi, psikosis, kecemasan, dan kegelisahan yang berkepanjangan. Hasil survei Ikatan Dokter Indonesia
(IDI), melalui Persatuan Dokter Spesialis Kesihatan Jiwa pada tahun 2007 menyatakan bahawa 94 % masyarakat Indonesia mengalami
depresi ringan dan berat. Mahdi al-Ghalsani mnyebutkan bahawa kesan sains moden terhadap hal-ehwal yang menyangkut masalah psikologi
manusia boleh meningkatkan statistik penderita kemurungan, kegelisahan, fobia, tekanan stress dan sebagainya. Mayoriti individu
mengalami ketidakstabilan emosi spiritual dan psikologi, sehingganya tingkat penderita penyakit mental dan pelaku yang terlibat
dengan bunuh diri meningkat dengan banyaknya. Inilah impak langsung daripada pemisahan antara manusia dengan agama, sebagai
implikasi daripada perkembangan filsafat sains Barat. Akbar S. Ahmed mencuba mengemukakan teori keseimbangan antara agama (al-diin) dan dunia (dunya) di mana
tasawuf menawarkan teori keseimbangan antara nilai-nilai agama dengan nilai-nilai tamadun moden. Namun ramai yang memandang
kesan sufisme hanya terbatas bagi dunia Islam sahaja. Sains moden sebenarnya telah berupaya dengan maksimum dalam usaha menciptakan dan mewujudkan generasi
prospektus yang mempunyai wawasan futuristik (masa depan) atau meminjam istilah Ali Syariati yang menyebutnya sebagai Raushan
Fikr. Namun sains moden ini masih memerlukan metodologi, sistem, teknik dan pengalaman yang cukup, sehingga
apa yang dikehendaki oleh manusia sebagai subjek sains tercapai atau setidak-tidaknya boleh mewakili penyelidikan mereka terhadap
suatu objek secara realiti. Tingginya kemahuan manusia bagi mencapai aspek fisikal-material dan psikologi, ternyata telah
memotivasi ilmuan Barat mahupun Islam, moden mahupun klasik, beragama ataupun tidak, maju ataupun mundur; bagi menemukan jati
diri yang hakiki dan lebih baik. Dua aspek manusia iaitu fisik mahupun psikologi merupakan dua arah jarum jam yang tidak dapat
dipisahkan. Bahkan kedua-dua dimensi tersebut harus wujud secara nyata serta semestinya sama, paralel, terpadu dan konfrehensif.
Secara kronologi, tamadun moden telah mengalami perubahan dari kemajuan
ilmu pengetahuan (sains) menuju era post moden seperti yang dinyatakan Akbar S. Ahmed tentang keseimbangan dunia dengan agama.
Secara tidak disedari perubahan tersebut telah menyebabkan banyak urusan menjadi sulit. Tawaran demi tawaran sebagai jalan
penyelesaian (problem solving) sudah dikemukakan, namun tatkala pemikiran rasional (logic) terbentur, manusia kembali memikirkan
potensi lain dari dalam dirinya. Victor E. Frankl mengatakan potensi lain ini sebagai The Meaningfull Life (kehidupan bermakna).
Frankl lebih menekankan pada dimensi rohani bagi memperoleh kehidupan bermakna yang dicapai melalui teori Logoterapinya..
Logoterapi, pada prinsipnya bermakna pada pemberdayaan nilai rohani (kejiwaan)
dalam pengubatan pasien yang menghadapi kemurungan, ketegangan, tekanan mental, kecemasan, dan kerisauan. Malik B. Badri seorang
pakar psikologi muslim memuji Viktor E. Frankl sebagai psikologis yang menggunakan pendekatan psikologi yang optimistik dan
bersesuaian dengan prinsip-prinsip humanisme dalam mencapai maksud kehidupan.
Psikologi dan Kemanusiaan
Manusia tidak berdiri sebagai fisikal semata, melainkan mereka tegak
secara kombinatif iaitu jasad dengan ruh atau jiwa. Manusia adalah sosok yang memiliki kepentingan terhadap dua komponen fisikal
dan psikologikal. Keduanya saling memerlukan dan saling mengisi antara kepentingan-kepentingan yang harus wujud secara bersinergi
dan terpadu. Psikologi dianggap rumit dan penuh teka-teki oleh pakar psikologi, kerana ia merupakan suatu hal yang bersifat
abstrak dan tidak nyata. Sementara manusia hanya diberi bekal sedikit sahaja oleh Tuhannya untuk mengetahuinya.
Wilhem Wundt (1883-1920) adalah bapak psikologi Barat, yang menganggap
metode dasar psikologi sebagai pengamatan eksperimental ke atas diri seseorang, yang ianya sebut juga sebagai introspeksi. Wundt menyakini bahawa tugas utama pakar psikologi adalah menyelidiki serta mempelajari proses dasar
kesedaran manusia, yang merupakan pengalaman langsung, kombinasi-kombinasinya dan hubungan-hubungannya seperti layaknya seorang
pakar chemisry (kimia) menyelidiki elemen dasar suatu zat. Bagi Wundt, yang terpenting adalah mempelajari cara kerja mental
yang terpusat kepada perhatian, maksud, serta tujuan yang dimiliki. Wundt mengembangkan satu metode yang disebut sebagai analytic
introspection (intropeksi analitik); iaitu satu bentuk formal dari observasi yang dilakukan terhadap diri sendiri. Sepanjang sejarah dan kenyataan psikologi individu, selalu mencari jawaban terhadap dirinya sendiri,
bagaimana ianya boleh hidup, bagaimana memperolehi ketenangan dan kebahagiaan, dan yang lebih penting lagi ialah apakah manusia
itu masih memiliki kehidupan selepas kematian. Justeru itu, Hazrat Pir telah menghuraikan dua hal yang paling dasar di atas
iaitu, tentang perilaku manusia. Pertama, bagaimana manusia sempurna (insan kamil) dapat dibentuk? Kedua, bagaimana masyarakat sempurna dapat dibina. Menurut M. Uthman Najati manusia memiliki banyak sekali kemahuan. Di antaranya ada yang disebut dengan
kemahuan primer. Kemahuan ini tidak boleh tidak mesti dipenuhi. Kerana kemahuan jenis ini menyangkut masalah mempertahankan
eksistensi diri dan memelihara kelangsungan hidup spesies. Ada juga kemahuan yang sifatnya penting dan lazim. Kemahuan inilah
akhirnya muncul berbagai macam motivasi yang mendorong manusia untuk melakukan penyesuaian diri guna memenuhi semua kemahuannya.
Dalam usaha menerangkan teori psikoanalisisnya, Freud menjelaskan tiga dimensi psikologi
manusia Id, Ego, Superego. Freud menerangkan superego sebagai suatu sistem nilai hati nurani individu. Superego bukanlah bawaan
sejak lahir, tetapi ia dipelajari, kerana ia berhubungan dan berkaitan kepada kebudayaan, sedangkan Id adalah bawaan sejak
lahir, dengan beberapa proses terjadi pada tingkatan yang tidak disedari. Dan
dimensi ketiga dari struktur keperibadian manusia adalah ego iaitu sebagai mediator (pendamai) terhadap superego dan Id Menurut Freud, Id merupakan: the aspect of personality allied
with the instincts, the source of psychic energy, The Id operates according to the pleasure principle.
Id dalam pemahaman Freud merupakan bahagian dari naluri primitive, bagian
bawah sedar manusia. Id mempunyai muatan yang berisikan dorongan-dorongan yang paling dasar dari keperibadian manusia. Id
adalah kumpulan ketaksedaran yang bersifat impulsif dan mendorong ekspresi dan tarik-menarik tanpa memperdulikan apa akibatnya,
dan tanpa pertimbangan pemikiran yang bererti. Id tidak merasa bertanggungjawab terhadap perilaku dan tindakannya. Dan id juga mudah dirasuki jiwa kebinatangan,
sehingga kerapkali berorientasi pada kebiadaban (tidak bermaruah).
Id dinamakan Freud sebagai system de unbewussten. Aspek ini dikenali
sebagai aspek biologi dan merupakan sistem yang paling dasar di dalam keperibadian. Dari sini juga aspek yang lainnya akan
tumbuh. Id pada realitinya adalah sebagai suatu struktur bawah sedar, yang tidak mempunyai pertimbangan logik.
Id bermakna nafsu kebinatangan yang pada lazimnya mematahkan kehendak pemikiran logik dan rasional. Kerana id berbuat sekehendaknya
sahaja, tanpa pertimbangan lainnya.
Id berbeza dengan ego yang mempunyai kecenderungan untuk dikritik dan
memperbaiki diri dengan menghindarkan diri dari rasa bersalah dan khilaf. Menurut Freud, ego berusaha mengendalikan konflik
yang berlaku. Ego merupakan penjelasan kepada id ketika diri mengadakan hubungan dengan dunia luar. Aktivitinya dapat sahaja
terjadi atas dasar kesedaran, prasedar atau tak sedar. Aktiviti sedar dinamakan sebagai persepsi lahiriah, atau persepsi batin
atau proses intelektual. Dan aktiviti prasedar misalnya merupakan fungsi ingatan individu, seperti aktiviti yang tak sedar
dikendalikan oleh fungsi pertahanan diri (defense mechanism). Tugas ego ialah mengatur penyesuaian antara dorongan dengan tuntutan realiti atau norma sosial dan mengendalikan konflik atau masalah yang tercipta dari dorongan
yang berusaha mencari jalan pemuasannya. Ego sebagai pusat pengurusan dan pengendalian serta penentuan arah, bertujuan mengawal id dari bertindak
secara bebas dan leluasa. Ego ini tumbuh ketika jiwa kemanusiaan sudah mulai eksis. Dengan demikian ego menggerakkan jiwa
kemanusiaan ke arah rasional (logic) melalui pertimbangan aqliyyah (akal) yang sedar.
Bagi Freud ego adalah The Rational Aspect
of the personality, responsible for directing and controlling the instincts according to the reality principle.
Selain itu ego timbul merupakan implikasi dari keinginan organisme supaya
dapat berhubungan dengan dunia luar secara realiti. Dalam proses penggunaan, ego itu berpegang kepada prinsip realiti (reality
principle) yang tujuannya masih dalam garis kepentingan organisme iaitu mendapatkan rasa enak dan menghindarkan diri dari
rasa tidak enak, namun bentuk dan cara yang diambil ego itu semestinya sesuai dengan aspek-aspek yang berkaitan dengan dunia
nyata, sesuai dengan kenyataan, baik kenyataan material mahupun kenyataan nilai-nilai sosial. Bagi Freud superego adalah sebagai pengantara atau penghubung yang membimbing, memandu, dan mengarahkannya,
serta menunjukkan salah dan benar sesuatu dimensional. Superego juga dinamakan dengan sistem nilai dan hati nurani. Kerana
ia memberikan model personaliti (keperibadian) yang kukuh dan kuat.
Superego juga dikenali sebagai aspek sosiologi dari keperibadian, dan
ia merupakan perwakilan dari nilai-nilai tradisional serta cita-cita masyarakat. Superego lebih merupakan kesempurnaan dari
kesenangan; kerana itu superego dianggap sebagai aspek moral keperibadian yang azazi iaitu menentukan benar atau salah, bermaruah
atau tidaknya sesuatu perbuatan. Oleh itu peribadi boleh bertingkah laku sesuai dengan moral masyarakat. Bagi Freud Superego adalah
The moral aspect of personality the internalization of parentall and societal values and standard. Superego
memandu peribadi ke arah kebajikan-kebajikan moral yang boleh diterima oleh masyarakatnya. Dalam kehidupan peribadi menyimpan
nilai luhur yang tumbuh dari proses sosial masyarakat, sehingga ianya boleh menjadikan peribadi itu tenang dan damai.
Freud mempunyai persepsi tersendiri terhadap motivasi dalam diri individu.
Manusia dikatakan bergerak dan beraktiviti dalam melakukan suatu pekerjaan bertujuan untuk mewujudkan keinginan yang mau ianya
capai. Seorang individu terdorong melakukan sesuatu aktiviti kerana ingin mencapai dan kemauan dasar, seperti kemahuan biologi,
kemahuan seks, serta makan, minum dan kemahuan yang lain. Motivasi primer (utama) ialah sesuatu yang mempunyai kaitan dengan
proses organik atau motivasi-motivasi yang timbul dari kekurangan atau kelebihan yang berkaitan dengan struktur organik manusia. Motivasi primer ini mendorong individu untuk memperolehi keinginan biologi, seperti; ingin mendapatkan
makanan kerana dia merasa lapar. Motivasi primer ini berbeza dengan motivasi sekunder yang tidak terlalu berkaitan dengan
organik. Motivasi sekunder lebih mengarah kepada kemahuan psikologi individu, seperti kehendak terhadap harga diri, ingin
diterima di hadapan kelompok majemuk (komuniti), dan ingin merealisasikan dan mewujudkan dirinya itu. Kelemahan konsep motivasi dalam teori psikoanalisis adalah penekanannya terhadap naluri, di mana dalam
menginterpretasikan aktiviti dari konsep sublimation untuk menentukan keragaman (pelbagai macam) aktiviti banyak diselubungi
keraguan dan tanda tanya. Dari aspek lain, konsep ini juga terlalu menganggap peranan jantina sangat berpengaruh terhadap
aktiviti manusia yang dapat mengabaikan motivasi-motivasi sosial manusia, justeru telah menimbulkan pertentangan dengan sikap sosial dan nilai-nilai moral yang diterima oleh komuniti
masyarakat tempatan. Pertentangan lain yang ditimbulkan oleh konsep ini adalah terjadinya pertikaian antara pemuasan kehendak
dan kemahuan dengan nilai-nilai budaya dan keagamaan masyarakat sehingga mendatangkan kekeliruan dan pertentangan tersebut.
Freud memandang manusia sebagai sistem-sistem tenaga dinamik keperibadian
yang terdiri dari Id, Ego dan Superego yang sekaligus merupakan tenaga psikologi manusia. Oleh kerana tenaga psikologi itu
terbatas, maka suatu sistem akan mengendalikan peranan tenaga yang ada dengan mengembangkan aspek yang lainnya. Di mana tingkah
laku manusia dalam hal ini didorong oleh tenaga psikologi tersebut. Freud juga melihat manusia dilahirkan atas dasar desakan
naluri sedari semula, di mana tingkah laku manusia lebih diutamakan oleh naluri kebinatangan dan desakan biologi. Desakan
yang paling utama adalah desakan untuk memperolehi kepuasan nafsu sendiri. Oleh itu, tingkah laku manusia itu tadi didasarkan
pada kekuatan untuk memperoleh kesenangan dan mengelak dari kesakitan.
Perbuatan individu ini lebih didorong oleh desakan seks, yang sudah semula
terhunjam dan melekat dalam diri setiap individu. Naluri seks yang terdapat dalam setiap peribadi, menjadikannya tunduk dan
mengabdi untuk mencapai kemahuan dan keinginannya. Energi psikologi ini, sangat berkaitan rapat dengan aspek Id, yang berada
di alam bawah sedar (uncouncious).
Dorongan-dorongan ketidaksedaran yang lahir dari perilaku biologi, lazimnya
mengorbankan dinamika keperibadian, ego, superego, mahupun Id. Oleh kerana itu, Freud melihat naluri ini, lebih berperanan
dalam menggerakkan perilaku manusia. Faktor penggerak naluri tersebut adalah tenaga naluri itu sendiri, yang berkaitan pula
dengan besar ataupun kecilnya desakan diri manusia itu.
Naluri yang terdapat dalam diri individu pada prinsipnya tetap dan tidak
berubah. Namun cara individu untuk memenuhi kemahuannya selalu sahaja berubah-ubah. Di mana energi psikologi, naluri itu dapat
berpindah dari satu objek ke objek yang lain adalah sifat yang sangat penting dari keperibadian. Hal inilah yang menjadi penyebab
tidak stabilnya kejiwaan individu dan membuat tingkah lakunya menyimpang (behavioural deviation). Teori Freud tentang motivasi
didasarkan kepada fikiran bahawa naluri merupakan suatu sumber energi bagi tingkah laku manusia.
Reaksi ego merupakan gelombang ancaman bagi naluri, untuk menghindari
rasa gelisah yang tidak mengenakkan perasaan. Usaha untuk mengurangi rasa gelisah, ego menggunakan mekanisme bela diri (defense
mechanism), melalui aspek ketidaksedaran. Pertahanan mekanisme (defense mechanism) boleh mengawal individu dari aspek yang
menghalangi untuk memperolehi puncak kesedaran.
Kegelisahan (anxiety) yang dirasakan individu merupakan ancaman kecemasan
terhadap dirinya. Oleh itu, usaha untuk menghindari kegelisahan (anxiety) itu, manusia lebih banyak mengurangi tekanan, dengan
cara membentuk bayangan dari objek yang boleh membuatnya tertekan.
Perkembangan keperibadian seseorang terpengaruh oleh satu di antara apa
yang disebut Freud dengan ”lima tahapan psikoseksual”. Pada setiap tingkatan terdapat kepuasan seksual, yang oleh
Freud dianggap sebagai kepuasan instink seksual, dihubungkan dengan anggota badan tertentu. Kelima tingkatan seksual itu ialah
seperti berikut. Pertama, tahap kesenangan berada di mulut (oral stage), terjadi sepanjang tahun pertama seorang bayi. Kesenangan
seorang bayi ialah menghisap susu ibunya (tetek ibunya) melalui mulut. Kedua, tahap kesenangan berada di dubur (anal stage),
iaitu tahun kedua seorang bayi, memperolehi kesenangan di sekitar dubur, iaitu ketika sang bayi mengeluarkan kotoran. Ketiga,
tahap seorang anak memperolehi kesenangan pada saat mulai mengidentifikasi alat kelaminnya (Phallic stage), iaitu seorang
anak memperolehi kesenangan erotik dari penis bagi seorang laki-laki dan clitoris bagi anak perempuan. Keempat, tahap remaja
(talency stage), iaitu kelanjutan dari tingkat sebelumnya, ketika kecenderungan erotik ditekan sampai menjelang masa pubertas.
Kelima, tahap puncak kesenangan terletak pada daerah kemaluan (genetical stage), iaitu saat kematangan seksualitas seseorang.
Psikologi barat juga tidak memiliki jawaban terhadap perilaku manusia
tersebut. Hal ini disebabkan oleh eksistensi manusia tidak pernah dibahas dan dikaji oleh disiplin ilmu, terutama psikologi.
Psikologi malah memusatkan perhatian kepada penggambaran (description) perilaku, tanpa melihat perlunya menyelidiki dasar-dasar
pokok yang melandasi dan menentukan perilaku manusia. Psikologi hanya menjadi bidang garapan orang-orang yang ingin mempelajari
segmen-segmen perilaku manusia yang sempit dan dapat diukur. Para pakar psikologi selama ini memang telah memberikan informasi
dan deskripsi yang berguna mengenai perilaku manusia. Namun setakat ini mereka tidak dapat memberikan jawaban terhadap pertanyaan-pertanyaan
mendalam tentang ”hati” manusia. Pakar psikologi Positivistik moden, misalnya, telah gagal memahami psikologi manusia, malah mereka menolak
status substantif psikologi sebagai sebuah entitas independen. Mereka hanya menterjemahkan kejadian-kejadian fisikal sebagai
suatu fenomena yang diciptakan oleh proses neurofisiologi. Melihat kepada perkembangan psikologi barat, setidaknya ada dua nilai yang berkembang dalam proses tersebut
iaitu; nilai sekuler dan nilai agama. Nilai sekuler lebih berpengaruh dan mendominasi dalam teori psikologi Pragmatisme Klinis
dan Humanistik. Pragmatisme Klinis banyak dipraktikkan oleh para psikiatris, kaunselor, terapis tingkah laku, dan agen-agen
masyarakat. Inti nilainya adalah implementasi langsung dari nilai-nilai sistem sosial yang didominasi oleh budaya dan tamadun.
Pandangan seumpama ini adalah konsisten dengan aksioma sistem ketuhanan, iaitu pertumbuhan manusia diatur oleh prinsip-prinsip
moral yang kepastiannya adalah sama taraf dengan sains fisik. Nilai-nilai terapi Humanistik lebih banyak dipengaruhi dan dipraktikkan oleh A. H. Maslow, yang memandang
manusia sebagai dulu, kini, dan akan datang. Maslow melihat bahawa hierarki kemahuan manusia adalah utama dan kepuasan diri
adalah dasar bagi pertumbuhan dan perkembangan diri. Menurut pandangan ini, manusia dilihat sebagai makhluk yang menentukan
diri sendiri, atau dalam kata lain bahawa manusia memiliki kebebasan untuk memilih alternatif-alternatif. Oleh kerana manusia
pada dasarnya bebas, maka dia harus bertanggungjawab atas segala arahan hidup dan penentuan takdirnya sendiri. Individu dipengaruhi dan dipandu oleh maksud peribadi yang dihubungkan kepada pengalaman-pengalaman mereka
sendiri.
Maslow mengemukakan sejumlah preposisi penting tentang perilaku manusia,
iaitu: Pertama, manusia merupakan makhluk yang serba berkemauan (man is a wanting being). Ia senantiasa menghendaki sesuatu
dan sering memerlukan yang lebih banyak. Tetapi apa yang diperlukannya, berkaitan dengan apa yang sudah dipunyainya. Setelah
ia memperolehi sesuatu kemahuan hidupnya, kemahuan untuk memperoleh kemahuan lain akan muncul pula selepas itu. Proses tersebut
tidak akan berkesudahan. Oleh yang demikian, meskipun kemahuan tertentu telah terpenuhi, kemahuan-kemahuan lain tidak semestinya
dipenuhi seluruhnya. Kedua, kemahuan yang dipenuhi, bukanlah suatu motivator terhadap perilaku. Hanya kemahuan-kemahuan tertentu
yang tidak dipenuhi, dapat memotivasi perilaku seseorang individu. Untuk menghuraikannya, boleh diperhatikan misalnya, kemahuan
manusia kepada oksijen. Kemahuan tersebut akan sentiasa mempengaruhi perilakunya, sehingga ianya memperoleh oksijen tersebut.
Ketiga, kemahuan manusia diatur dalam suatu hierarki, mengikuti kepentingan kemahuan masing-masing. Maslow memandang motivasi
seorang individu sebagai suatu urutan kemahuan yang ditentukan. Kemahuan-kemahuan fisiologikal merupakan kemahuan yang amat
imperatif, tetapi secara psikologi kemahuan terhadap realiti diri adalah sangat penting bagi setiap individu.
Humanistik adalah sebuah model yang memandang manusia sebagai makhluk
yang wujud dalam proses untuk memanusiakan mereka dengan memberi penekanan khusus kepada kecenderungan-kecenderungan alamiah
manusia untuk mengatur diri sendiri dan memenuhi kemahuan diri. Teori ini berpendapat bahawa faktor signifikan yang mempengaruhi
individu bukanlah realiti sebagaimana adanya (as such), dan ia hanya merupakan interpretasi terhadap realiti tersebut. Hal
ini bererti bahawa realiti untuk setiap individu pada dasarnya mengikuti persepsi-persepsi masing-masing. Diri yang teratur
dan konsisten dikembangkan melalui pengalaman-pengalaman yang tidak bererti diabaikan manakala pengalaman yang boleh diterima
dimasukkan ke dalam struktur diri. Pengalaman-pengalaman yang tidak dapat diterima akan muncul sebagai ancaman kepada diri
yang kemudian menuntut supaya boleh dilindungi dari ancaman-ancaman tersebut. Diri akan lebih menjadi statik dan kaku ketika
memerlukan lebih banyak pengawalan. Seorang individu menjadi tidak mampu menyesuaikan diri, ketika merasakan diri tidak selaras
dan tidak sesuai dengan pengalaman hidupnya. Oleh kerana itu, ketegangan mental melahirkan situasi (keadaan) yang lebih buruk
dan dapat mendatangkan efek yang amat buruk kepada kesihatan mental.
Nilai agama mampu mempengaruhi perkembangan psikologi di era moden. Bahkan
akhir-akhir ini nilai-nilai agama menjadi isu yang paling banyak dibincangkan dan dibicarakan dalam bidang psikologi. Banyak
ilustrasi yang menunjukkan terjadinya perkembangan ini. Contohnya, pertama, sains telah kehilangan otoritinya sebagai sumber
kebenaran. Ini tercermin dalam sejumlah analisis yang berhasil menunjukkan bahawa ilmu sebenarnya merupakan suatu bentuk budaya
intuitif (kata hati) dan mengandung nilai. Oleh itu dimensi-dimensi ekologi sosial (alam lingkungan) dan politik dari kemajuan sains dan teknologi.
Pada masa ini tidak boleh divonis begitu sahaja sebagai satu tanda kemajuan. Meskipun kepercayaan terhadap metode ilmiah masih
sentiasa bertahan, akan tetapi muncul kekecewaan yang kentara berkenaan dengan cara-cara pemanfaatan ilmu tersebut. Justeru
itu, kepercayaan terhadap sains sebagai problem solver bagi masalah-masalah kemanusiaan sudah semula diragukan. Kedua, Psikologi sebagai salah satu disiplin ilmu memberikan otoriti bagi perilaku manusia, berkaitan
dengan perilaku beragama mereka. Selama masa pengabaian (apatis) agama di Barat, diperolehi sains perilaku (behavioristik)
semakin berkembang dengan laju dan pesat, dan telah mencapai puncak kejayaan dan kesuksesannya. Efek dari perkembangan ini,
menimbulkan sejumlah kritikan dan kecaman terhadap tanggapan-tanggapan dasar yang digunakan di bidang psikologi oleh para
profesional. Namun ia telah memberikan warna baru dalam perkembangan psikologi terutama dalam hubungannya dengan agama. Ketiga, era moden telah menimbulkan kecemasan, keterasingan, kekerasan, egoisme, kemurungan, ketegangan,
psikosis, dan neurosis yang mengakibatkan manusia mengalami ketidakstabilan emosi. Ketika paradigma keagamaan digugat, persentase
penderita penyakit mental dan gangguan mental meningkat dengan tajam. Hal ini merupakan efek langsung dari kemajuan sains
dan filsafat Barat. Keempat, semangat kemanusiaan yang muncul di kalangan pakar
psikologi telah menunjukkan tanda-tanda positif dan berpeluang bagi mewujudkan dimensi psikologi manusia ke arah yang lebih
baik dengan menawarkan pengalaman-pengalaman spiritual sebagai salah satu metode yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah-masalah
kemanusiaan. Pakar psikologi yang terlibat dalam
gerakan ini adalah, seperti Victor E. Frankl, William James, Carl Jung, Gordon W. Allport disamping berdirinya organisasi
besar seperti, American Psycholocical Associations’s Division, Society for the Scientific Study of Religion, dan American
Catholic Psychological Association yang turut berperanan dalam hal ini.
Perempuan
dalam Menyikapi Isu Jender
Jender yang dalam bahasa Inggris gender adalah etimologi untuk menyebutnya
dengan sebutan jantina, laki-laki versus perempuan dan jantan versus betina. Jender juga boleh diertikan sebagai perbezaan
yang tampak antara laki-laki dan perempuan dilihat dari segi nilai dan tingkah laku. Dalam bahasa Arab jender lebih dekat derivasinya dengan kata: al-rajul dan al-zakar yang bererti laki-laki,
sedangkan al-nisa’, al-untsa, dan al-mar’ah bererti perempuan. Apabila kata-kata itu dikembangkan pemaknaannya,
maka ia agak berbeza dalam penunjukan dan fungsi penggunaannya. Ar-rajul bererti laki-laki. Sedangkan al-zakar bererti laki-laki, jantan, atau kemaluan orang laki-laki. An-nisa’ artinya perempuan yang sudah dewasa. Al-untsa bererti jantina perempuan tanpa memandang
bayi, anak-anak, remaja, ataupun dewasa.
Terinspirasi dari pengertian jender di atas, laki-laki mahupun perempuan
adalah makhluk hidup yang memiliki kesamaan tetapi juga berbeza. Pandangan dunia (world view) terhadap kedua jenis ini berbeza,
baik secara sosiologi, antropologi, dan psikologi. Perbezaan ini muncul dari sudut pandang yang berbeza dari tiga aspek yang
disebutkan sebelumnya. Laki-laki dalam suatu komuniti mengambil peran dominan ketimbang perempuan. Demikian juga dengan perempuan
yang secara optima dan telaten telah mengambil peran laki-laki, yang di komuniti berbeza mereka tersudutkan kerana kultur
dan budaya.
Kehidupan adalah realiti-realiti. Ini keniscayaan yang tidak bisa ditolak
oleh siapapun. Realiti-realiti ini dapat disebut sebagai kebudayaan. Dalam aras ini ada realiti kehidupan kaum perempuan yang
entah sejak kapan sampai hari ini masih wujud di sudut-sudut dan pinggir-pinggir sosial. Mereka, dalam realiti ini juga, masih
dipandang sebagai makhluk Tuhan kelas dua, separoh harga laki-laki, sebagai pembantu, tergantung pada laki-laki dan seringkali
diperlakukan dengan bahasa yang agak kasar, setengah budak. Hak-hak mereka, lalu dibatasi pada wilayah-wilayah kehidupan yang
sangat ekslusif dan marginal, rumah tangga. Perspektif dan pandangan ini terjadi dalam hampir seluruh bangunan kehidupan:
sosial, politik, ekonomi, dan lain-lain. Tegasnya, hidup dan mati kaum perempuan seakan-akan ditentukan oleh orang lain. Dan
orang lain itu adalah makhluk yang mengunggulkan dan menghebatkan laki-laki. Boleh laki-laki, tetapi boleh juga perempuan
sendiri. Inilah yang oleh banyak orang disebut dengan kebudayaan patriarki.
Kehidupan wanita (Islam di abad pertengahan) dalam berbagai kawasan dan
periode ini tampaknya sama dalam pola umumnya dan khususnya menyangkut kadar dan sifat keterbabitan mereka dalam ekonomi dan
menyangkut adat-istiadat yang mengatur kehidupan mereka, khususnya yang berkaitan dengan perkawinan. Bagi para istri dari orang-orang kelas atas, ongkos poligami dan perseliran pada umumnya lebih bersifat
emosional dan psikologi ketimbang ekonomis. Selain itu nestafa para selir dari orang-orang seperti itu secara ekonomis berbahaya,
sekurang-kurangnya sampai mereka berbuat untuk sang tuan. Dan dengan demikian, memperolehi jaminan
keamanan.
Wanita dalam posisi tersudutkan atau tidak, ianya sebenarnya memiliki
karakter sendiri dalam mewujudkan dirinya yang aktual sebagai kemahuan hidup yang harus dipenuhi. Ini ertinya bahawa seorang wanita memiliki kepentingan yang sama dalam menentukan identiti dirinya, aktualisasi
dirinya, dan rasa penghargaan yang harus dicapainya.
Dalam teori konflik masalah jender dianggap sebagai hal yang sangat berpengaruh
kuat. Di mana masyarakat dalam satu kelas saling memperebutkan pengaruh dan kekuasaan. Orang yang kuat, cenderung berpeluang
memainkan peranan dan mendapati pengaruh. Ilustrasi ini mendeskripsikan bahawa; baik laki-laki mahupun perempuan sama-sama
memiliki tantangan dan prospek untuk diperhitungkan dalam suatu keluarga dan komuniti sosial.
Masyarakat primitif lebih bersifat egaliter kerana ketika itu belum dikenal
adanya surplus penghasilan sehingga belum dikenal adanya pemilikan peribadi. Bentuk-bentuk keluarga dalam masyarakat primitif
ditandai dengan praktik sistem produksi untuk digunakan sendiri. Rumah tangga bersifat komunal, semuanya dilakukan untuk rumah
tangga sebagai keseluruhan. Perempuan sebagai anggota rumah tangga mempunyai kontribusi yang sama dengan laki-laki dalam ekonomi
rumah tangga.
Berbeza dari teori konflik, teori feminis menganggap semua manusia, laki-laki
dan perempuan, diciptakan seimbang dan sesuai, serta tidak perlu ada intimidasi dan penindasan antara satu dengan lainnya.
Kaum feminis daripada kelompok ini berupaya menghilangkan struktur kelas dalam masyarakat berdasarkan jantina. Ketimpangan
peranan antara jantina itu sesungguhnya lebih disebabkan oleh faktor budaya alam. Struktur ekonomi atau kelas dalam masyarakat memberikan pengaruh efektif terhadap status perempuan. Kerana
itu untuk mengangkat harkat dan martabat perempuan supaya seimbang dengan laki-laki, diperlukan peninjauan kembali struktural
secara mendasar, terutama dengan menghapuskan dikotomi pekerjaan sektor domestik dan sektor publik.
Dalam Islam isu jender bukanlah hal yang baru. Namun laki-laki mahupun
perempuan memiliki kodratnya masing-masing. Mereka dibekali dengan potensi dan kecenderungan-kecenderungan sesuai dengan kodrat
penciptaannya. Sebagai seorang laki-laki ataupun perempuan, mereka harus menyalurkan motivasinya secara halal dan tidak berlebihan.
Laki-laki dan perempuan memiliki perbezaan yang sangat signifikan secara biologi. Namun mereka memiliki fungsi yang sama dalam
mengaktualkan diri di hadapan Tuhannya. Mereka sama-sama makhluk Tuhan yang diciptakan khusus dalam pengabdian kepada Rabb-Nya.
Antara laki-laki dan perempuan adalah kemitraan yang saling memerlukan,
memiliki hak dan kewajiban yang sama, saling menghargai, dan mempunyai keutamaan-keutamaannya masing-masing. Perempuan tidak
boleh dieksploitasi dan dimarginalkan, tetapi perempuan juga tidak boleh bertindak semena-mena kepada laki-laki. Perempuan
dan laki-laki setara dalam kodratnya, namun mereka memiliki batasan-batasan yang tidak boleh dilampauinya. Dalam rumah tangga
suami memiliki hak dan kewajiban terhadap istrinya, demikian juga sebaliknya. Suami harus mampu berlaku adil dalam mengatur
waktu, memberi nafkah, lemah lembut dalam bicara, membebaskan mereka dari tindakan kasar dan menyakitkan. Seorang perempuan harus menjadi mukminah yang shalehah, patuh dan taat kepada suaminya; sejauh tidak
melanggar ketentuan agama, mendidik anak-anak, melayani suami dengan baik. Secara umum tampaknya al-Qur’an mengakui
adanya perbezaan antara laki-laki dan perempuan, tetapi perbezaan itu bukanlah pembezaan (diskriminatif) yang menguntungkan
satu pihak dan merugikan yang lainnya. Perbezaan tersebut dimaksudkan untuk mendukung obsesi al-Qur’an iaitu terciptanya
hubungan harmonis yang diazaskan rasa kasih sayang (mawaddah warahmah) di lingkungan keluarga, sebagai cikal bakal terciptanya komuniti ideal dalam suatu negeri yang damai dan penuh ampunan Tuhannya. Konsepsi tentang relasi jender dalam Islam mengacu kepada ayat-ayat esensial yang sekaligus menjadi tujuan
umum syari’ah, seperti mewujudkan keadilan dan kebajikan, keamanan dan ketenteraman, dan menyeruh kepada kebajikan dan
mencegah kemungkaran.
Pencitraan perempuan di dunia Islam yang secara realiti mengukir sejarah
dan perkembangan-perkembangan, mulai dari kemunculan Islam hingga sekarang telah mengalami distorsi (perubahan). Polemik seputar
jender tidak berkesudahan dan menjadi ajang perdebatan. Padahal sebenarnya, al-Qur’an telah mendeskripsikan tentang
perempuan-perempuan ideal dalam politik, ekonomi, peternakan, isteri yang memelihara kehormatan dan marwahnya, sebagai hamba Allah yang diciptakan sebagai khalifah fil-ardh. Keterlibatan perempuan dalam pekerjaan pada masa awal Islam, maka tidaklah berlebihan jika dikatakan
bahawa Islam membenarkan mereka aktif dalam berbagai aktiviti. Sebagai perias pengantin misalnya Ummu Salim binti Malhan yang
merias antara lain, Syafiyyah binti Huyay. Ummu Salamah, Syafiyyah, Laila al-Ghaffariyyah, Ummu Sinam al-Aslamiyyah adalah
tokoh-tokoh yang terlibat dalam peperangan. Di bidang perniagaan, Khadijah adalah perempuan yang tidak dapat dilupakan begitu
sahaja, kerana keahliannya di bidang perniagaan tersebut.
Penutup
Isu jender menguak tabir polemik pelbagai pihak yang hangat untuk dibincangkan.
Jender semula adalah deskripsi atas jantina, baik laki-laki mahupun perempuan. Kemudian pemaknaan jender berubah ke arah yang
lebih sempit iaitu perempuan. Setiap perbincangan jender, pikiran orang sudah terkontaminasi dengan perempuan. Padahal jender
adalah jantina yang tidak memihak satu komponen makhluk sahaja, laki-laki ataupun perempuan. Apa yang menjadi isu sentral
dalam persoalan jender, itulah yang telah ditela’ah secara sederhana dalam tulisan ini, dengan pendekatan psikologi.
Jender, laki-laki ataupun perempuan adalah makhluk hidup yang setara
dalam aktualisasi diri, sama-sama memiliki hak yang sejajar dalam penentuan dan pemilihan pekerjaan mahupun dalam kehidupan
sosial-psikologi dan sosial-politik. Islam memandang kesamaan derajat laki-laki dan perempuan, memiliki hak dan kewajiban
yang harus ditunaikannya secara adil dan berkeadilan. Laki-laki dan perempuan adalah sosok pasangan yang saling membantu dalam
semua urusan; dan dengan batasan-batasan yang melekat padanya.
Perempuan muslimah secara psikologi seharusnya tidak berlebihan dalam
menyikapi persoalan-persoalan yang menyangkut isu jender. Kerana Islam telah memberikan solusi dan batasan-batasan yang harus
dipatuhinya. Dan Islam telah mensejajarkan laki-laki dan perempuan sesuai kodratnya masing-masing, tanpa berat sebelah. Perempuan
menjadi isteri yang baik dan shalehah di samping suaminya, menjaga kehormatan dan marwahnya, mendidik anak-anaknya, dan memelihara
harta suaminya. Demikian juga laki-laki semestinya mampu menjaga hak-hak, membayarkan kewajiban, melindungi kaum perempuan,
mendidik isterinya, dan menjadi pemimpin dirinya, keluarganya, dan masyarakatnya.
Penulis adalah pensyarah pada UIN ”SUSKA” Riau DPK pada STAI Natuna, Direktur Eksekutif Lembaga Pengkajian Umat ”Madine
el-Jadid”, dan juga sebagai Staff Ahli Bupati Natuna bidang keimanan dan Pembinaan Umat
Alamat:
- STAI Natuna, Jl. Sukarno-Hatta No.122 Ranai-Kabupaten
Natuna-Kep.Riau Phone. 006277331050
- LPU “Madine el-Jadid” JL. H. Imam Ismail
(Depan Bak Air) Air Makan Kelurahan Ranai Darat-Bunguran Timur-Natuna-Kep.Riau Handphone: 00628127551362/006281378081973,
Email: khairunnasrajab@gmail.com